ROHANA ISMAIL
TUMPAT – Limpahan air sungai Golok sejak malam tadi menyebabkan beberapa kampung di pinggir sungai terbabit mula dinaiki air, hari ini.
Selepas daerah Pasir Mas, kini daerah Tumpat pula dilanda banjir apabila Kampung Jejulok, Kubang Sawa, Kajang Sebidang dan Palas Merah dinaiki air.
Berikutan itu, penduduk di kawasan ini mula berkemas dan menyimpan dokumen penting di tempat tinggi.
Penduduk Kampung Bendang Pak Yong, Zaidi Daud, 39, berkata, air mulai naik secara mendadak sejak petang semalam lagi.
“Pagi ini kami penduduk di sini mula menggunakan bot untuk keluar masuk memandangkan jalan ke kampung kami susah ditenggelami banjir.
” Halaman rumah saya sendiri pun ditenggelami air sedalam dua meter dan terpaksa menggunakan bot untuk keluar membeli keperluan dapur.
“Air trend menaik dan jangkakan beberapa kampung lagi akan terputus hubungan,” katanya.
Tiada pemindahan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) direkodkan di daerah Tumpat setakat ini.
Laman sesawang infobanjir.water.gov.my setakat jam 3 petang menunjukkan air Sungai Golok di Kuala Jambu mencecah 2.74 meter manakala paras amaran 2.50 meter.