ROHANA ISMAIL
TUMPAT – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bersedia menjadi orang yang pertama di negeri ini menerima suntikan Vaksin Covid 19.
Kata beliau, dia sudah bersedia untuk menerima suntikan vaksin pada awal Mac ini selepas satu perbincangan mengenai vaksin itu diadakan.
Menurutnya, pada 4 Mac ini satu perbincangan secara online diadakan dengan Menteri Sains, teknologi dan Alam Sekitar, Khairy Jamaludin.
“Kita akan berbincang beberapa perkara berkaitan dengan vaksin ini untuk dapatkan pencerahan, arahan dan perbincangan dua pihak kerajaan persekutuan dan negeri.
“Malah kita sudah bersedia melalui Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin untuk kita menyusun dan melaksanakan Imunisasi Kebangsaan Covid 19 di negeri ini.
“InsyaAllah saya bersedia menjadi orang yang pertama nanti terima suntikan vaksin yang dijangka awal Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kelantan Updates selepas merasmikan majlis perasmian Ir Mart di Taman SPP Warisan Kampung Berangan di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat, ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah, ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah.
Kumpulan pertama vaksin Covid-19 untuk diberikan kepada rakyat Malaysia akan tiba ke negara ini esok.
Ia sekaligus bakal membuka jalan untuk Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang akan bermula secara berperingkat mulai 26 Februari.
-tamat-