MACHANG – Seramai 41 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Machang menerima sumbangan pada Program Bantuan UiTM Prihatin berjumlah RM20,500.
Program anjuran Unit Misi Akademik dan Pra-Pendidikan Tinggi UiTM Cawangan Kelantan itu bertujuan meringankan beban dan membantu pelajar daripada golongan yang kurang berkemampuan terutama mereka yang berasal daripada keluarga B40.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed berkata setiap pelajar menerima wang sumbangan sebanyak RM500 dan bantuan tersebut sejajar dengan usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar golongan B40 menjadi insan yang berjaya dan cemerlang.
Katanya, ia juga diharapkan dapat mengeratkan hubungan UiTM dan masyarakat sekaligus memperkasakan Institusi Pendidikan Tinggi di Malaysia.
“Pelajar-pelajar dinasihatkan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi memperbaiki kehidupan keluarga pada masa depan.Selain itu, program Bantuan UiTM Prihatin ini secara tidak langsung dapat membantu memajukan dan memberi sumbangan terhadap golongan B40 daripada segi pembangunan sosioekonomi masyarakat dan negara.
“Bantuan UiTM Prihatin yang menjadi wadah pemerkasan pendidikan anak bangsa ini akan terus diperluaskan untuk membantu melebar luas akses pendidikan tinggi seterusnya memberi peluang kepada pelajar golongan B40 untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta menampung kekurangan bagi tujuan pendidikan,” katanya.