2 Mei 2021
KOTA BHARU- Kira- kira RM4,000 sehari dibelanjakan Sukarelawan Ihya’ Ramadan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyediakan juadah berbuka sepanjang Ramadhan ini.
Pemangku Timbalan Pengarah (Pentadbiran) Pusat Islam Kampus Kesihatan USM, Amira Abd Sattar @Ismail berkata, ia kebiasaannya melibatkan antara 800 hingga 1,000 pek juadah berbuka.
“Peruntukan tersebut adalah hasil derma warga Kampus Kesihatan USM.
“Juadah ini diagihkan kepada petugas barisan hadapan Hospital USM, peneman pesakit, pelajar yang menginap di asrama serta kariah masjid,” katanya.
Tambahnya, juadah mula diagihkan sekitar jam 3.30 petang setiap hari di beberapa lokasi seperti dalam wad, dewan bedah, pos keselamatan dan asrama.
“Tugas memasak biasanya bermula jam 8.30 pagi sebelum diteruskan dengan kerja- kerja membungkus.
“Semua proses ini dilakukan secara gotong- royong antara sukarelawan pusat tanggungjawab (PTJ), ahli Kelab Jasa Budi yang terdiri daripada pesara-pesara USM, ahli- ahli persatuan dalaman USM serta pelajar,” katanya.
Beliau berkata, gotong-royong menyediakan juadah ini adalah aktiviti tahunan Pusat Islam Kampus Kesihatan dan telah dimulakan sejak 2000 lagi.
Katanya, apa yang diharapkan ia dapat meringankan beban pelajar yang berhadapan kesukaran untuk keluar membeli juadah berbuka terutamanya dalam situasi ketika ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan.
Dalam pada itu, Amira berkata, Pusat Islam Kampus Kesihatan USM mengalu- alukan sekiranya ada dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat yang ingin menyalurkan sumbangan dalam usaha menjayakan lagi program ini.
Mengulas lanjut, Amira berkata, bagi menjaga kebersihan alam sekitar, mereka menjual semula minyak masak yang telah digunakan, manakala semua sisa makanan akan diasingkan untuk dijadikan baja kompos.