KOTA BHARU-Dakwaan Datuk Seri Anwar yang mengumumkan menerima sokongan untuk membentuk kerajaan baru hanya strategi untuk mendapatkan undi rakyat Sabah.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, strategi Anwar sangat dangkal dan mudah dibaca yang sudah tentu tidak akan mempengaruhi pengundi-pengundi Sabah.
“Ia Satu strategi politik murahan pimpinan PH untuk mempengaruhi pengundi Sabah yg akan keluar mengundi pada Sabtu ini.
“Oleh kerana mood rakyat Sabah begitu tinggi untuk memastikan kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas PRN nanti adalah kerajaan yang bersama dengan kerajaan Persekutuan demi untuk kebaikan rakyat Sabah, PH terpaksa membuat kenyataan sebegitu agar Pengundi Sabah memberikan Undi kepada Warisan, “katanya dalam satu kenyataan.
Che Abdullah yang juga Setiausaha Pas Kelantan berkata, Anwar yang sudah beberapa kali membuat kenyataan kenyataan yang tidak tertunaikan seperti langkah Kajang dan 16 September.
“Dakwaan beliau mendapat sokongan kuat majoriti Ahli Parlimen Melayu, Bumiputra untuk menyokong PH adalah satu dakwaan palsu kerana pimpinan Melayu Bumiputra ini amat sedar dan mengenali PH yang telah diberi peluang mentadbir negara selalu 22 bulan itu.
“Bahkan rakyat juga telah mengenali PH dengan pengalaman 22 bulan itu.
Seruan saya kepada rakyat Sabah teruskan usaha untuk mengembalikan kerajaan Negeri yang bersama dengan kerajaan Persekutuan melalui PRN Sabtu ini,”katanya.