Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kebenaran kepada murid memakai pakaian biasa yang sesuai, kemas dan sopan sekiranya belum mempunyai pakaian seragam untuk hadir ke sekolah.
Kebenaran itu diberikan mulai 1 hingga 26 Mac depan, iaitu sehingga cuti pertengahan penggal persekolahan tahun 2021.
“KPM menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa tentang peraturan pemakaian pakaian seragam sekolah apabila sesi persekolahan dibuka kelak.
“Untuk makluman, murid perlu memakai pakaian seragam untuk hadir ke sekolah seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Iktisas 3/1983 : Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah.
“Namun begitu, memgambil kira keadaan semasa, KPM ingin memaklumkan bahawa murid yang belum mempunyai pakaian seragam sekolah diberi kebenaran memakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan untuk hadir ke sekolah,” menurut siaran media yang dikeluarkan hari ini.
Jelas kenyataan tersebut, KPM berharap kebenaran itu akan membolehkan semua murid kembali hadir ke sekolah bagi mengikuti pembelajaran secara bersemuka.
KPM pada 19 Februari lalu mengumumkan tarikh pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 1 Mac ini.
Gambar hiasan internet