KUALA LUMPUR – Orang ramai dibenarkan makan di kedai lebih dua orang satu meja mengikut kapasiti dan tertakluk kepada syarat penjarakan 1 meter, mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran itu melibatkan semua negeri termasuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, mesyuarat hari ini bersetuju pelanggan dibenarkan makan di kedai berdasarkan keluasan meja makan mulai esok.
“Bagaimanapun, ia mestilah mempunyai penjarakan fizikal satu meter antara pelanggan dan meja.
“Pada masa yang sama, jumlah penumpang juga dibenarkan mengikut kapasiti kenderaan di semua kawasan termasuk di PKP,” katanya ketika berucap pada sidang media, di sini, sebentar tadi.
Sebelum ini, makan di kedai kawasan PKP hanya dua orang satu meja dibenarkan manakala PKPB dan PKPP mengikut kapasiti meja makan.