KUALA LUMPUR -Cuaca panas dan kering ketika ini dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Jailan Simon dalam satu kenyataan berkata, Malaysia kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas.
Katanya, cuaca kering terutamanya di utara negeri Semenanjung iaitu Kedah, Perlis dan Perak selain Kelantan dan Terengganu.
“Pada bulan Februari, situasi sama dijangka akan turut merangkumi Pulau Pinang, Perak Utara, utara Kelantan dan utara Terengganu serta di timur Sabah,” katanya.
“Negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan, walaupun dijangka akan menerima jumlah hujan yang biasa namun Februari merupakan bulan yang sememangnya kurang hujan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, taburan hujan yang rendah dalam tempoh lama boleh menyebabkan cuaca agak panas, terutamanya pada waktu malam apabila terdapatnya litupan awan.
Bagaimanapun katanya, MET Malaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.
Menurutnya, MET Malaysia juga menerima maklumat bahawa jumlah paras air di empangan tertentu mengalami penurunan berbanding kebiasaan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menjimatkan penggunaan air, berhati-hati ketika melakukan aktiviti luar, tidak melakukan pembakaran terbuka dan minum air secukupnya.
“Dapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial MET Malaysia,” katanya.