*FAKTOR – FAKTOR PENARIKAN SOKONGAN OLEH YB DATUK AHMAD JAZLAN BIN YAAKUB TERHADAP KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL PIMPINAN YAB TAN SRI MUHYIDDIN BIN MOHD YASSIN*
*1. MORATORIUM DAN KWSP YANG TERTIPU*
Kami sedar bahawa cadangan untuk meneruskan moratorium dan pengeluaran KWSP datang dari kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Oleh kerana cadangan ini adalah bertepatan dengan kehendak rakyat maka sudah tentu gambaran yang dilihat berpihak kepada kepimpinan UMNO dan BN. Justeru itu Kerajaan hari ini telah bersetuju pada peringkat awal tetapi tidak melaksanakan sebagaimana cadangan sebenar yang dikehendaki oleh rakyat melalui kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Jadi inilah antara sebabnya ahli – ahli Parlimen UMNO menarik balik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
*2. COVID-19 SEMAKIN PARAH*
Melihat kepada penularan Covid-19 yang semakin hari semakin meningkat, ini menggambarkan Kerajaan PN hari ini gagal untuk menyediakan perancangan bagi menangani masalah ini. Kalau kita melihat kepada Negara – Negara lain dapat mengawal penularan ini, tetapi di Malaysia seolah – olah hilang kawalan. Ini menunjukkan Kerajaan yang ada gagal, perancangan dan tindakan untuk membanteras Covid-19 lansung tidak ada kesan. Malahan pembekalan vaksin pun kita tidak tahu bila dapat diedarkan di Malaysia. Singapura sudah mula program vaksinasinya dan Indonesia juga sudah umum akan mula program ini pada 13 Januari 2021. Tetapi di Malaysia tidak ada pengumuman program vaksinasi diadakan.
*3. PENGANGGURAN YANG MEMBIMBANGKAN*
Semua telah maklum bahawa keadaan pengangguran semakin membimbangkan. Pakar-pakar ekonomi juga berpandangan sedemikian dan keadaan ini akan berterusan sekiranya Kerajaan yang mentadbir negara tidak setabil dan rakyat semakin terdesak dengan kuasa beli yang semakin rendah, keadaan ini boleh membawa peningkatan masalah gejala sosial seperti kes rompakan, kecurian, samun dan lain-lain lagi.
*4. PRESTASI EKONOMI SEMAKIN MENGUNCUP*
Semua sedar bahawa Kerajaan PN hari ini tidak kukuh dengan majoriti yang tipis berbanding dengan pembangkang. Pelabur – pelabur asing takut untuk datang membuat pelaburan dan langkah – langkah penjanaan ekonomi tidak dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Malahan banyak pelabur – pelabur yang sedia ada di Negara ini berpindah ke Negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan lain – lain. Ini mengakibatkan perkembangan ekonomi akan terkesan.
*5. ADIB MASIH BELUM TERBELA*
Kes Adib yang telah diperjuangkan oleh UMNO dan PAS semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan tidak diambil peduli oleh Kerajaan hari ini. Harapan keluarga Adib hanya menjadi igauan yang mengharapkan Kerajaan yang didokong oleh pemimpin yang ada dalam Kerajaan PN memberi pembelaan yang adil dalam kes Adib. Oleh itu kami berpendapat bahawa Kerajaan hari ini masih dipengaruhi oleh pemimpin Kerajaan terdahulu yang mana kes ini tidak ada jalan penyelesaian.
*6. PEMULANGAN DUIT UMNO*
Pihak kami mendapati Wang UMNO yang telah ditahan semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan masih diteruskan oleh Kerajaan hari ini dengan tidak mengembalikan wang tersebut kepada UMNO. Kerajaan hari ini juga telah mengemukan rayuan terhadap keputusan mahkamah sedangkan mahkamah telah dua kali membuat keputusan membebaskan tuduhan terhadap wang tersebut diperolehi secara tidak sah. Ini menunjukkan bahawasanya Kerajaan hari ini yang ditunjangi oleh parti PPBM mempunyai agenda tertentu yang telah dirancang bagi mengekang aktiviti UMNO di peringkat Nasional, Negeri, Bahagian hingga ke Cawangan.
*7. AHLI UMNO DICURI*
Kepimpinan UMNO juga telah memberi sokongan kepada Ahli Parlimen UMNO secara bersama menyokong bagi membentuk Kerajaan hari ini iaitu Kerajaan PN, jadi sepatutnya tidaklah berlaku agenda membeli ahli dan menubuh Cawangan melalui ahli – ahli UMNO oleh parti PPBM dengan menyediakan peruntukan tertentu. Kalau betullah Kerajaan hari ini merupakan Kerajaan yang dibentuk bersama demi kesejahteraan rakyat dan berfokuskan kepada kedudukan Agama, Bangsa dan Negara, tidak sepatutnya pihak PPBM mencuri ahli-ahli UMNO bagi mencapai matlamat 8,000 cawangan dalam masa tiga bulan.
*9 JANUARI 2021*