KUALA LUMPUR–Setelah melalui detik sukar, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 akhirnya diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini.
RUU Belanjawan 2021 diluluskan dengan majoriti tipis tiga Ahli Parlimen setelah perbentangan bacaan kali ketiga.
Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, selepas pengiraan dibuat, hanya seorang sahaja Ahli Parlimen yang tidak hadir dan tidak mengundi.
“Keputusan undian belah bahagian bagi RUU Perbekalan 2021 adalah bersetuju sebanyak 111, tidak bersetuju 108 dan tidak hadir satu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad bersepakat bergabung dan menjangka kerajaan akan runtuh hari ini.
RUU ini sudah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun melalui laluan sukar di peringkat jawatankuasa walaupun semua 27 kementerian telah diluluskan.
Daripada 27 kementerian itu, 18 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagian.
Pada 6 November lalu, kerajaan PN memperuntukan sebanyak RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021.
Daripada jumlah ini, sebanyak RM236.5 bilion akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan (DE).