27 Mac 2021
Penelitian sedang dilakukan sama ada rentas negeri sempena Aidilfitri Mei ini dibenarkan atau sebaliknya.
Memetik laporan Harian Metro, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang meneliti perkara itu dan pengumuman akan dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).
“Segala keputusan berhubung perkara itu bergantung kepada situasi semasa kes harian Covid-19.
“Ini antara isu yang sedang dipertimbangkan kerajaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Terdahulu Muhyiddin bersarapan pagi bersama masyarakat di Warung Noorizwan, FELCRA Bukit Kepong, Pagoh, hari ini.
Muhyiddin berkata, Ramadhan semakin hampir dan mufti juga telah mengeluarkan fatwa solat tarawih boleh dilaksanakan.
“Mungkin bila nak raya, kita mungkin boleh buat sembahyang raya bersama- sama, takbir atau boleh ziarah rentas negeri.
“Buat masa ini kerajaan masih belum dapat berikan jawapan berhubung rentas negeri untuk Aidilfitri, kita akan teliti dan umumkan bila tiba masanya nanti,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan membenarkan operasi bazar Ramadhan dan solat tarawih dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Photo: Bernama