PUTRAJAYA – Penggunaan vaksin AstraZeneca akan diteruskan bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) hari ini.
Katanya, AstraZeneca akan terus digunakan Malaysia memandangkan data klinikal menunjukkan vaksin itu lebih banyak manfaat daripada negatif.
“JKJAV mengadakan pertemuan dari pukul 11 pagi hingga 2 petang hari ini.
“Antara perkara yang kami bincangkan adalah mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca dari UK,” katanya kepada media selepas upacara menandatangani memorandum persefahaman antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan lapor Astro Awani.
Pada hari Ahad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengatakan Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin akan memutuskan penggunaan vaksin.
Khairy menambah bahawa kerajaan telah memesan sekitar 6.4 juta dos AstraZeneca dengan 1.4 juta dos lagi melalui kemudahan Covax, yang dijadualkan tiba pada bulan Mei.