Jurulatih Kelantan United FC, Akira Higashiyama merumuskan kemenangan tipis 2-1 dalam saingan Liga Premier sudah memadai setelah pasukannya mengharungi kesukaran berdepan Perak FC II di Kota Bharu, semalam.
Akira berkata, ia satu perlawanan yang tidak mudah bagi pasukannya namun dia tetap berpuas hati dengan peningkatan prestasi ditonjolkan barisan pemain dalam pertemuan itu.
“Sudah tentu saya mahu lebih banyak gol tetapi saya kena akur bila pemain gagal melakukannya. Perak FC II menunjukkan taktikal bertahan cukup bagus, jadi bagi saya dah cukup (menang 2-1).
“Pasukan lawan membariskan pemain muda, disitu saya boleh lihat kualiti yang ada pada mereka sentiasa mencuba (memberi saingan) sepanjang masa.
“Tetapi kami sedikit lega keluar sebagai pemenang, kenapa ? Mungkin kami lebih baik berbanding lawan, ” katanya dalam sidang media pasca perlawanan itu.
Pada perlawanan ketiga liga, pemain import Kelantan United FC, Gassama Alfusainey merekod jaringan terpantas dalam saingan Liga Malaysia musim ini setelah meledak gol ketika permainan baharu mencecah 33 saat.
Tuan rumah terus mengukuhkan kedudukan menerusi gol kedua Muhammad Amirul Syafik Che Soh pada minit ke-50 sebelum Perak FC II merapatkan jurang hasil sentuhan Muhammad Alif Zikri Zaini Anuar, sembilan minit kemudian.
Sementara itu, pengendali Perak FC II, Syamsul Saad jelas kecewa dengan kekalahan itu ketika dia memilih perlawanan tersebut untuk pasukannya mengutip sekurang-kurangnya satu mata.
“Cuma satu benda yang mungkin pemain saya kecewa bila kita kena gol pertama yang saya rasa cukup tak munasabah.
“Dalam bilik persalinan tadi, saya dah tunjuk video pertemuan dengan Sarawak United FC, dua gol mudah yang kita beri kerana salah marking,” katanya.
Di sebalik kekecewaan tersebut, Syamsul tetap memberi kredit kepada anak buahnya apabila tampil lebih berani dari segi corak menyerang ke atas tuan rumah.
“Sekali lagi kita diberi pengajaran cukup besar akibat kekalaian. Itu yang membezakan antara pemain berpengalaman dengan pemain muda pasukan saya,” tambahnya lagi.