Jurulatih Kelantan United FC, Akira Higashiyama mahu barisan pemain mengekalkan persembahan cemerlang apabila turun berdepan Perak II pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang esok.
Akira berkata, selepas menewaskan PDRM FC, anak buahnya perlu meneruskan momentum kemenangan walaupun skuad pembangunan Perak itu pernah mengejutkan Kelantan FC dalam aksi pembuka tirai, minggu lalu.
“Saya lihat mood pemain dalam keadaan baik, bermain sebagai satu pasukan dan mengikuti segala arahan yang diberikan.
“Situasi ini meletakkan kami lebih bersiap sedia untuk cuba mencari kemenangan kedua dalam saingan Liga Premier,” katanya hari ini.
Skuad The Green Deer yang tewas 0-2 kepada Sarawak United FC dalam aksi pertama merasai nikmat kemenangan setelah mengatasi PDRM FC dengan jaringan sama di gelanggang sendiri, Rabu lalu.
Sementara Perak II yang dikemudi Syamsul Saad memulakan kempen dengan aksi membanggakan apabila mengejutkan Kelantan FC 1-0 namun terkulai layu setelah tunduk 0-3 kepada Sarawak United FC di Ipoh.
Mengulas lanjut, pengendali berusia 31 tahun itu memberitahu, Kelantan United FC tampak bersedia untuk bertemu Perak II meskipun jadual pertandingan cukup padat dengan aksi berselang tiga hari.
Menurutnya lagi, dia telah melakukan kerja rumah tambahan dengan menganalisa corak permainan Perak II menerusi rakaman video bagi memastikan pasukannya tidak terperangkap dengan percaturan taktikal lawan itu.
“Kami telah melihat permainan Perak II. Jadi, kami kena berwaspada dengan ancaman mereka. Mereka mempunyai ramai pemain muda dan semuanya bermain bagus.
“Saya harap pemain yang akan diturunkan nanti jangan terleka sehingga menyebabkan kita dihukum,” katanya lagi.
Pada masa masa, jurulatih berasal dari Jepun itu mengesahkan barisan pemain bebas daripada belenggu kecederaan sekali gus membolehkannya menurunkan barisan terkuat, pada pertemuan ketiga itu.
“Setakat ini pemain kami bebas daripada masalah kecederaan, jadi pada perlawanan dengan Perak II, saya akan meletakkan kesebelasan utama yang terbaik untuk kita meraih mata penuh,” tambahnya lagi.
FOTO : Kelantan United FC