Hajat peminat bola sepak untuk hadir menyaksikan pertembungan dua kelab tempatan atau “local derby” di antara Kelantan United FC menentang Kelantan FC di stadium dalam saingan Liga Premier yang dijadual berlangsung petang esok tertangguh seketika.
Ia berikutan perlawanan tersebut belum mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan.
Ekoran perkembangan terbaharu itu, pertemuan “adik-abang” tersebut akan dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong dengan sepak mula mengikut jadual 4.45 petang.
Pengarah Eksekutif Kelantan United FC Sdn Bhd, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, walaupun perlawanan Liga Malaysia yang lain sudah dibenarkan bermain dengan kehadiran penyokong oleh kerajaan namun pihaknya belum mendapat lampu hijau daripada (MKN) Negeri Kelantan.
“Di Kelantan, pihak kelab masih belum mendapat kelulusan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan.
“Justeru itu, perlawanan menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang esok kekal dengan jadual asal dan tanpa kehadiran penyokong,” menurutnya menerusi siaran media malam ini.
Jelas beliau, Kelantan United FC Sdn Bhd telah membuat permohonan dan perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat MKN Negeri Kelantan dalam masa terdekat berkenaan permohonan kebenaran kemasukan penyokong untuk perlawanan selepas ini.
Difahamkan, stadium berusia 54 tahun itu mempunyai kapasiti 20,000 tempat duduk dan sekiranya dilangsungkan dengan kehadiran penonton ia jangka menghadkan sekitar 2,000 orang sahaja mengambil kira kebenaran hanya 10 peratus bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).