Bekas pemain TRW, Khairul Fahmi Che Mat sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Bagaimanapun majikan Apek, Melaka United FC (MUFC) pantas menafikan perkara itu dengan menjelaskan pemain itu masih kekal bersama pasukan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUFC, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri berkata, berita yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu itu tidak benar
Beliau berkata, penjaga gol berusia 32 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Apek telah menandatangani kontrak baharu selama dua tahun sehingga 2022 baru-baru ini.
“Ini (perpindahan Apek ke JDT) adalah berita palsu. Kami tidak pernah menerima sebarang surat rasmi atau dihubungi mana-mana pihak dari JDT untuk mendapatkan Apek.
“Begitu juga dengan pasukan-pasukan lain, tiada sebarang tawaran dibuat. Apek akan terus bersama kami dan berita mengenai perpindahannya adalah tidak benar,”katanya dilaporkan kepada Sinar Harian.
Mengulas mengenai bekas pemain pasukan Melaka United, Safiq Rahim berhirah ke JDT, beliau tidak ada maklumat kerana bekas pemain kebangsaan itu sudah menamatkan kontrak dengan pasukan itu.
“Saya juga tidak tahu menahu tentang (bekas kapten MUFC) Safiq Rahim. Kontraknya telah tamat, sama ada dia kembali ke JDT atau mahu terlibat dengan kelab (Liga) M3, itu saya tidak pasti,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan MUFC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Mohd Saiful berkata, pihaknya kini dalam usaha mendapatkan khidmat penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic.
“Pemain terbabit akan tiba ke Melaka dalam masa terdekat. Sehingga hari ini kami difahamkan, Nikolic sedang menguruskan perjalanannya ke negara ini,” katanya.
Kredit: Sinar Harian