Mario Arques Blasco Dani melengkapkan kuota pemain import bagi memperkuatkan cabaran Kelantan FC menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.
Perancang tengah berasal dari Sepanyol itu diumumkan selaku pemain terakhir selepas identitinya didedahkan secara rasmi di laman sosial kelab berkenaan, hari ini.
Berusia 29 tahun, Arques merupakan produk yang digilap daripada pasukan remaja kelab Villareal pada tahun 2011 selain pernah mewakili Valencia B (2014-2015), Sporting Gijon B (2015-2016).
Pemain ini juga pernah berkelana ke India dengan beraksi dalam saingan Liga Super negara berkenaan mewakili Jamshedpur FC (2018-2019) dan kelab terakhir adalah Kerala Blasters FC, tahun lalu.
Sebelum ini, pihak pengurusan kelab telah mengumumkan dua pemain import terbaharu mereka iaitu Jack Hindle dari England yang bertindak selaku penyerang dan Christos Intzidis (Greece) beraksi di posisi pertahanan tengah.
Hindle, 28 tahun mempunyai pengalaman bermain bersama Barrow AFC sejak 2018 sebelum dipinjamkan kepada Gateshead FC dan South Shield, pada musim 2019 dan tahun lalu.
Sementara itu, Intzidis juga mencecah usia 28 tahun tampil dengan ketinggian 1.89 meter mungkin boleh dianggap ‘kereta kebal’ baharu Kelantan FC untuk digandingkan dengan pemain muda kelab itu.
Pemain itu memulakan karier pada 2012 dengan menyarung jersi PAOK FC selain menyertai FK Palanga (2018-2019), PS Kalamata, AFK Csikszereda Miercurea Ciuc dan Concordia Chiajna, kesemua pada 2019 hingga tahun lalu.
Terdahulu, Kelantan FC telah mengikat kontrak setahun dengan bintang muda Indonesia, Natanael Siringo Ringo yang akan beraksi di posisi sayap kanan, minggu lalu.