Dua pemain Kelantan FC disahkan positif Covid-19 sekali gus menyaksikan
perlawanan antara Perak FC II menentang pasukan itu di Stadium Perak, Ipoh, Jumaat ini terpaksa ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia ( MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan pindaan jadual perlawanan Liga Premier membabitkan dua pasukan berkenaan susulan perkembangan terbaharu itu.
“Dua pemain terbabit kini sedang menjalani proses kuarantin di salah sebuah hospital di Petaling Jaya selepas didapati positif dengan wabak tersebut.
“Kedua-dua pemain Kelantan FC itu telah didapati positif menerusi Ujian Calitan RTK Antigen dan PCR yang dilakukan sebelum perlawanan menentang Selangor FC II di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 3 Mei lalu,” katanya menerusi siaran media hari ini.
Menurut beliau, pemain berkenaan terus diasingkan daripada pasukan dan tidak diturunkan dalam perlawanan menentang Selangor FC II mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.
“Sementara pemain-pemain lain tidak berdepan masalah di mana status mereka adalah negatif Covid-19 tetapi perlawanan Kelantan FC bertemu Perak FC II terpaksa dipinda.
“Ini kerana naratif kuarantin yang dituntut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 10 hari dan tempoh tersebut telah melepasi tarikh jadual perlawanan mereka pada Jumaat ini.
“Pihak sekretariat MFL sedang meneliti punca kes positif Covid-19 ini berlaku untuk dibawa ke Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan,” ujarnya lagi.
Ab Ghani turut mengumumkan bahawa empat perlawanan Liga Super dan Liga Premier akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan.
Empat perlawanan itu melibatkan dua aksi Liga Super di antara UiTM FC dengan Kuala Lumpur City FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada 8 Mei dan Selangor FC menentang Terengganu FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sehari kemudian.
Manakala dua lagi perlawanan adalah aksi Liga Premier di antara Skuad Projek FAM-MSN dengan Terengganu FC II di Stadium UiTM Shah Alam, pada 7 Mei dan Selangor FC II menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, 8 Mei.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, badan pengendali Liga Malaysia itu akan mengetatkan pematuhan SOP dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP.
“MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Selangor jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan dan petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.
“Jadi, SOP pengelolaan perlawanan tanpa penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak,” jelas beliau.