Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) diarahkan menyelesaikan tuntutan tunggakan gaji melibatkan 11 bekas pemain di bawah persatuan itu.
Tuntutan tersebut melibatkan empat bekas pemain skuad Liga Premier dan selebihnya pemain skuad Piala Presiden dengan jumlah keseluruhan RM187,778.92.
Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Joehari Ayub menerusi siaran media persatuan itu memaklumkan keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat ke-15 bagi penggal 2017-2021 yang bersidang pada 7 Januari lalu.
“Tuntutan pengadu telah diterima sepenuhnya dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada pemain sebanyak tertakluk kepada potongan wajib pendapatan,” katanya.
Mendahului senarai ialah bekas pemain yang pernah menyarung jersi Kelantan musim 2019 iaitu Muhammad Fauzi Rozlan dengan tunggakan RM63,628.18 diikuti Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000).
Turut berada dalam senarai dua bekas pemain musim lalu iaitu Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000).
Badan induk bola sepak Kelantan turut berhutang dengan tujuh pemain skuad Piala Presiden iaitu Mohamad Azzrie Aripin (RM4,075), Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877), Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681) dan Ahmad Fathi Irfan Azlan (RM3,279).
Selain itu, Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50), Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) serta Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25).
Sementara itu, Jawatankuasa Status FAM turut mengarahkan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) melunaskan tuntutan tunggakan gaji bekas pemainnya, Curran Lawrance Singh Ferns berjumlah RM97,500.