Marco Ragini menegaskan pasukannya begitu dahaga kemenangan apabila turun membuat perhitungan dengan Kuching City FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang esok.
Ketua Jurulatih Kelantan FC itu berkata, dia mahu momentum cemerlang itu diteruskan selepas kelab kendaliannya berjaya menewaskan Kelantan United FC dalam pertemuan ‘local derby’ baru-baru ini.
“Menang pertemuan derby (mengalahkan Kelantan United FC) sangat penting bagi kami ia membolehkan saya memahami potensi pasukan untuk terus mencabar kejuaraan musim ini.
“Sudah tentu Kelantan FC mahu menang, ia (menewaskan Kuching City FC) membolehkan kami merapakan jurang dengan pasukan di atas selain menjarakkan kedudukan daripada pasukan di bawah kami,” katanya kepada KelantanUpdates.com hari ini.

Ketika ini, kelab yang dibimbing pengendali dari San Marino itu menghuni tangga keempat dengan 10 mata dan dibeza empat mata dengan pendahulu liga, Negeri Sembilan FC manakala Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Sarawak United FC, masing-masing terikat 13 mata.
Bagaimanapun, Ragini pantas memberi peringatan kepada barisan pemainnya agar tidak memandang rendah kelab yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu sekali pun mereka sekadar seri dengan Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi terakhir.
Menurutnya, rekod tiga perlawanan terakhir tanpa kalah membuktikan kelab dari Kepulauan Borneo itu mula mempamerkan peningkatan prestasi dari satu perlawanan ke perlawanan lain.

“Seperti mana-mana pasukan lain, kami juga menghormati Kuching City FC. Dalam bola sepak, anda tidak boleh mengecilkan kemampuan pasukan lawan kerana ia sebenarnya boleh menjerat diri sendiri.
“Jadi. kami kena berhati-hati dengan mereka. Ini adalah pertandingan kompetitif, anda kena fokus jika mahu mengatasi lawan. Untuk esok, saya tidak hanya minta komitmen tinggi daripada pemain tetapi sepenuh tumpuan jika mahu mengalahkan Kuching City FC,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengendali berusia 53 tahun itu tampak pasrah apabila kehilangan khidmat penyerang import, Jack Hindle yang digantung permainan setelah mengutip kad merah dalam aksi menentang Kelantan United FC, sebelum ini.
“Jack (Hindle) memainkan peranan cukup penting dalam tiga perlawanan lalu. Ketiadaannya amat dirasai kerana dia seorang pemain penuh bertaktikal dan pakar motivasi hebat kepada rakan sepasukan ketika di atas padang.
“Secara taktikal, saya akan mengekalkan strategi sama seperti perlawanan lalu walaupun mungkin ada beberapa lagi pemain yang tidak boleh diturunkan tetapi saya beri jaminan kami tidak akan beraksi longlai,” jelasnya lagi.
FOTO : TRW Kelantan FC