Logo ciptaan Muhammad Afiff Anuar dipilih selaku pemenang pertama Pertandingan Rekabentuk Logo Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) – The Red Warriors.
Keputusan tersebut diumumkan menerusi laman rasmi TRW Kelantan FC, malam ini.
Logo berkenaan dipilih sendiri pemilik kelab itu, Norizam Tukiman dengan pemenang berkenaan bakal membawa pulang wang tunai RM3,000.
Rekabentuk tersebut berjaya mengetepikan sembilan logo lain yang disenarai pendek dalam pertandingan yang dibuka 14 September hingga berakhir 26 September lalu.
Logo baharu ini dijangka menggantikan logo keramat TRW yang begitu sinonim dengan penyokong pasukan itu, sejak sedekad lalu untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Bagaimanapun, logo yang dipilih itu tidak diputuskan sebagai muktamad sebaliknya akan diubah mengikut kesesuaian dan citarasa Norizam atau lebih dikenali panggilan Zamsaham itu.
Logo berkenaan memperincikan 10 belang merah yang sinonim dengan warna bendera Kelantan menunjukkan 10 daerah yang bergabung menyokong kebangkitan pasukan bola sepak Kelantan.
Emblem logo berbentuk perisai bulat pula melambangkan era baharu serta visi dan misi yang jelas, utuh bagi menggapai kejayaan baharu.
Simbol dua bintang yang tertera di logo itu menunjukkan perpaduan antara penyokong dan pasukan bola sepak Kelantan.
Sementara itu, lilitan emas melambangkan Kelantan di bawah naungan sistem beraja.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan perincian mengenai binatang yang terdapat di logo itu dan ia mungkin menimbulkan sedikit kekeliruan sama ada gambar yang tertera itu rusa atau kijang yang dikaitkan dengan sejarah dahulu negeri Kelantan.
Namun tinjauan di laman sosial TRW Kelantan FC mendapati rata-rata penyokong berpuas hati dengan rekabentuk logo baharu yang akan digunakan pasukan itu.