Hasrat Kelantan FC untuk meraih kemenangan pertama di gelanggang sendiri terbantut kecundang 0-1 kepada Sarawak United FC dalam saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, petang tadi.
Ia merupakan kekalahan kedua kelab kendalian Marco Ragini di laman sendiri setelah tewas dengan jaringan sama kepada Perak FC II, pada perlawanan pertama, bulan lalu.
Sebaliknya, Sarawak United FC pulang ceria dengan tiga mata hasil gol tunggal Lee Chang-hoon sekali gus mengekalkan rekod ranpa kalah dalam lima perlawanan setakat ini.
Pelawat terlebih dahulu mencipta peluang pertama ketika aksi baharu memasuki minit kelima apabila Sandro da Silva Mendonca bijak mengumpan kepada Uche Agba namun tandukan penyerang import Nigeria itu tersasar di pintu gol.

Kelantan FC membalas serangan dua minit kemudian menerusi Jack Hindle yang merebut bola di kaki pertahanan, Mohd Badrul Affendy Fadzli sebelum melorongkan kepada Nurshamil Abd Ghani namun percubaannya diselamatkan Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Sarawak United FC memperoleh peluang terbaik untuk mendahului pada minit ke-25 menerusi Christie Jayaseelan tetapi percubaannya pula digagalkan Mohd Faridzuean Kamaruddin.
Aksi kembali rancak dengan giliran tuan rumah hampir mengejutkan pelawat dua minit kemudian apabila Hindle bijak memusingkan badan di dalam kotak penalti dan terus melepaskan rembatan memaksa Mohd Sharbinee Allawee menampan bola sebelum Taylor Regan pantas menyelamatkan situasi berbahaya di gawangnya.
Ketika permainan menuju minit ke-37, tanpa diduga skuad kendalian E Elavarasan berjaya mengubah kedudukan semasa sekali gus menjadi jaringan tunggal dalam perlawanan itu.
Berpunca hantaran pendek da Silva Mendonca, pemain tengah import kelahiran Korea Selatan, Chang-hoon yang tidak dikawal melepaskan percubaan jarak jauh untuk menewaskan Mohd Faridzuean di pintu gol Kelantan FC.
Tersentak dengan gol itu, anak buah Ragini bangkit mengasak namun rembatan Natanael Siringo Ringo sempat ditampan penjaga gawang lawan sambil Hindle gagal melakukan tindakan susulan, pada minit ke-39.

Bersambung babak kedua, pelawat nyaris menambah gol kedua menerusi gerakan menarik Agba di dalam kotak penalti tetapi rembatan da Silva Mendonca pula dinafikan Mohd Faridzuean, pada minit ke-54.
Pemain gantian pelawat, Nur Shamie Iszuan Amin meletakkan bola ke dalam jaring pada minit ke-82 hasil gerakan awal Christie namun gol itu dibatal setelah dia dikesan berada dalam posisi ofsaid terlebih dahulu.
Tempoh lapan minit terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan namun ketumpulan penyudah memuktamadkan kemenangan tipis memihak pelawat.
FOTO : TRW Kelantan FC