Mengakui cabaran besar menanti, Kelantan FC tampil merendah diri apabila berdepan Terengganu FC (TFC) II pada saingan Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.
Ketua jurulatihnya, Marco Ragini berkata, pendekatan itu lebih realistik mengambil kira prestasi semasa pasukan pembangunan Terengganu itu yang belum tewas dalam tiga perlawanan, setakat ini.
Menurutnya, aksi persahabatan ketika menentang kelab jiran tetangga yang berkesudahan seri dalam persiapan pra musim ini turut memberi indikasi mengenai kekuatan sebenar TFC II.
“TFC II merupakan sebuah pasukan yang kuat, tersusun dan beraksi mengikut cara DNA bola sepak mereka sendiri. Mereka (pemain) mengenali antara satu sama lain kerana sudah bersama sejak beberapa tahun lalu.
“Berbanding Kelantan FC, kami benar-benar baharu, masih dalam proses pembentukan (pasukan) berbanding pasukan lain,” katanya hari ini.
Di sebalik pendekatan tersebut, pengendali dari San Marino itu bagaimanapun tetap optimis kelab kendaliannya mampu memberi tentangan ke atas skuad bimbingan Badrul Afzan Razali.
Malah jelasnya lagi, dia percaya anak buahnya berupaya menangani kehebatan pemain TFC II secara taktikal meskipun beraksi di gelanggang lawan.
“Apa yang penting pemain harus meminimakan kesilapan dan memberi tumpuan penuh di atas padang. Hanya cara ini kita boleh mendapatkan keputusan positif.
“Saya rasa kita telah berjaya merapatkan jurang mengenai dua aspek itu. Jadi, saya percaya kedua-dua pasukan perlu menghormati antara satu sama lain, pada pertemuan malam esok,” katanya.
Dalam pada itu, Ragini membayangkan kesediaannya untuk merombak strategi ketika pasukannya menggalas misi besar mendapatkan mata di Kuala Terengganu itu.
“Selepas aksi terakhir (menewaskan PDRM FC), ada lima pemain berada dalam senarai kecederaan termasuk Jack Hindle.
“Saya perlu merancang semula percaturan taktikal pasukan ini, tapi ia tidak menjadi masalah kerana saya yakin pemain baharu boleh melaksanakan tugas dengan baik,” ujarnya lagi.
FOTO : TRW Kelantan FC