Kelab Bola Sepak Kelantan (Kelantan FC) memilih lokasi luar dari Kota Bharu untuk menganjurkan majlis pelancaran jersi dan pengenalan barisan pemain dan kejurulatihan pasukan itu, pada 1 Februari ini.
Sebuah resort di Pulau Langkawi kepunyaan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman iaitu The Red Warriors (TRW) Villa Abadi dipilih menjadi lokasi bersejarah bagi pengenalan pasukan baharu itu.
Norizam atau dikenali Zamsaham bagaimanapun berkata, majlis tersebut akan diadakan secara tertutup mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.
“Pemilihan TRW Villa Abadi di Pulau Langkawi sebagai lokasi majlis menjadi serampang dua mata untuk kita memperkenalkannya kepada penyokong setia Kelantan FC.
“Sebenarnya TRW Villa Abadi ini merupakan aset yang boleh menjana pendapatan jangka panjang untuk pasukan ini,” katanya.
Kelantan FC yang dibeli oleh Norizam daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), September tahun lalu bakal menyuntik DNA bola sepak Eropah untuk menghadapi saingan musim ini.
Pengurusan kelab kini sedang membawa masuk barisan kejurulatihan dari Itali termasuk pemain import juga daripada negara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Norizam yang merupakan pakar pelaburan terkenal memaklumkan, Kelantan FC pada musim baharu ini bakal memperagakan jersi baharu dengan tiga warna jersi berbeza.
Menurut beliau, warna keramat yang sinonim dengan Kelantan FC iaitu merah kekal menjadi identiti pasukan itu yang akan beraksi dalam kempen Liga Premier.
“Insya Allah, untuk musim ini kita akan tampil dengan rekabentuk jersi baharu lebih menarik lagi.
“Kalau nak tahu dua warna baharu itu, penyokong kena tunggu majlis pada 1 Februari dan apa yang boleh saya katakan ia akan dijual dengan harga mampu milik kepada mereka,” ujarnya.