Kelantan United FC tidak berdepan masalah apabila mudah menewaskan Skuad Projek FAM-MSN 3-0 pada saingan Liga Premier di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan keempat itu membolehkan kelab bimbingan Akira Higashiyama kekal di tangga kelima untuk mengumpul 13 mata sekali gus merapatkan jurang dengan pasukan teratas.
Skuad The Green Deer bagaimanapun terpaksa menunggu hingga penghujung babak pertama dan kedua sebelum berjaya merobek gawang skuad pembangunan negara itu.

Terdahulu, Kelantan United FC memperoleh peluang pertama seawal minit ke-12 namun percubaan jarak jauh Yuki Tanigawa tersasar disusuli rembatan Muhammad Asraf Alifuddin Yasin terus ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Mohamad Nabil Asyraf Ramli, tiga minit kemudian.
Pelawat terus mengasak untuk mencari gol pertama tetapi percubaan jauh Gassama Alfusainey turut tersasar pada minit ke-23 manakala usaha Mohd Juzaerul Jasmi pula dinafikan penjaga gol lawan, enam minit selepas itu.
Skuad Projek FAM-MSN yang dilihat lebih banyak diasak sebelum itu akhirnya mencipta peluang pertama untuk mencemaskan pelawat tetapi rembatan Muhammad Ismat Imran Zainal hanya sedikit tersasar di sebelah kiri gawang, minit ke-32.

Begitupun, penantian pelawat untuk menyaksikan gol pembuka tirai terhasil akhirnya menjelma apabila Muhammad Asraf Alifuddin tenang menyudahkan lorongan cantik Mohd Juzaerul dengan menampan masuk untuk meletakkan pasukannya mendahului 1-0, dua minit sebelum separuh masa pertama berakhir.
Pelawat terus tampil lebih garang sebaik babak berikutnya bersambung menerusi gerakan awal Muhammad Ashraf Alifuddin tetapi percubaan kapten, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi pula dikecewakan oleh ketangkasan Mohamad Nabil, minit ke-54.
Malah sembilan minit berselang, Fakhrul Zaman sekali lagi gigit jari apabila gagal mengambil kesempatan di atas kesilapan Mohamad Nabil ketika gawang tuan rumah terganga luas untuk melebarkan kedudukan buat pasukannya.

Sedar satu gol tidak memadai, Akira akhirnya membawa masuk pemain import dari Jepun, Masashi Motoyama untuk menguatkan jentera pasukannya.
Perubahan itu menyaksikan Kelantan United FC berjaya menambah gol kedua mereka apabila seorang lagi pemain gantian, Mohamad Hariz Kamarudin menanduk masuk bola sepakan percuma Mohamad Qayyum Marjoni Sabil, minit ke-86.
Gassama membunuh sisa-sisa perjuangan anak buah Yusri Che Lah apabila memanfaatkan umpanan Masashi menerusi sepakan leret untuk menjadikan kedudukan 3-0, pada minit ke-90.
FOTO : Kelantan United FC