Perjuangan Kelantan United FC dalam saingan TM Piala Malaysia berakhir lebih awal apabila tewas 0-4 kepada Perak pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Pemain import The Bos Gaurus, Leandro dos Santos muncul wira sebenar apabila meledak hatrik manakala satu gol lagi disumbangkan Careca.
Pemain kelahiran Brazil itu hanya memerlukan tujuh minit sebaik permainan bermula untuk meletakkan pasukannya mendahului pelawat 1-0 apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru dilakukan Mohd Firdaus Saiyadi.
Skuad kendalian Mehmed Durakovic terus mengukuhkan kedudukan apabila dos Santos menyempurnakan hantaran ke belakang Mohd Shahrel Fikri Md Fauzi untuk mengecewakan Mohd Syazwan Yusoff di gawang Kelantan United pada minit ke-21.
Bagaimanapun, tuan rumah gagal menambah jaringan selepas itu dan kedudukan 2-0 kekal sehingga babak pertama berakhir.
Belum sempat Kelantan United FC memperkemaskan corak permainan mereka sekali lagi dikejutkan dengan jaringan ketiga dos Santos, hanya tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung.
Pemain berusia 34 tahun itu menyudahkan hantaran leret rakan sepasukannya dengan menolak masuk memaksa Mohd Syazwan mengutip bola di dalam gawangnya sendiri.
Ketika aksi tampak berkesudahan kekal dengan jaringan itu, Careca muncul selaku penjaring gol keempat dalam masa kecederaan permainan untuk mengesahkan kemenangan 4-0 bekas juara Piala Malaysia 2018 itu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Perak akan bertemu Terengganu FC pada suku akhir manakala Kelantan United FC terpaksa mengucap selamat tinggal kepada pertandingan piala paling berprestij itu.
FOTO IHSAN : KELANTAN UNITED FC