Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) mahu ‘perang terbuka’ diantara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) diselesaikan segera.
Presidennya, Mohd Nurul Md Yusoh berkata, persengketaan yang berlanjutan hingga kini tidak menguntungkan mana-mana pihak malahan menjadikan isu berkenaan semakin rumit dan berpanjangan.
Menurutnya, Kelate.Net menyambut baik kesediaan FAM untuk menjemput Norizam mengadakan perbincangan lanjut bersama MFL bagi menamatkan persengketaan tersebut.
“Kelate.Net tidak gembira dengan perkembangan mutakhir melibatkan Kelantan FC dengan FAM serta MFL kerana ia sebenarnya memberi isyarat tidak bagus kepada kepada semua pihak ini untuk bergerak ke hadapan.
“Jalan terbaik dalam menamatkan persengketaan ini adalah menyelesaikannya di meja rundingan melibatkan ketiga-tiga pihak berkenaan seberapa segera,” katanya menerusi siaran media kelab berkenaan hari ini.
Perang diantara Norizam atau dikenali Zamsaham seakan tidak reda apabila pakar pelaburan itu dilihat membongkar satu demi satu perkara melibatkan badan pentadbir liga bola sepak negara di laman sosialnya.
Ia bermula rasa tidak puas hati Norizam berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengenai pemotongan mata ke atas Kelantan FC sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal menyelesaikan tuntutan gaji 11 bekas pemain melibatkan jumlah RM187,778.92.
Mohd Nurul memberitahu, Kelate.Net turut menyarankan pemilik Kelantan FC tidak menggunakan platform media sosial untuk menyatakan rasa tidak puas hati beliau sebaliknya menyampaikannya mengikut saluran betul kepada FAM dan MFL.
“Sebarang langkah menggunakan platform media sosial secara berterusan dikhuatiri akan terus memberi persepsi buruk terhadap FAM selaku badan induk bola sepak kebangsaan dan MFL, sebagai organisasi pentadbiran liga selain mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tempatan,” ujarnya.
Pada masa sama, Kelate.Net juga melihat ‘drama panas’ itu tidak membantu kepada usaha Kelantan FC untuk membina pasukan ketika boleh dikatakan hampir 90 peratus pasukan lain sudah siap untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.
“Adalah lebih mustahak buat masa sekarang Kelantan FC kekal fokus mempersiapkan pasukan daripada meneruskan sengketa dengan FAM dan MFL ketika semua pihak berdepan cabaran sukar untuk menguruskan liga dalam musim Covid-19 ini.
“Perlu diingatkan juga, para penyokong bola sepak tidak lagi berminat untuk mendengar masalah hutang dan menggesa Kelantan FC menetapkan satu tempoh tertentu kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menyelesaikan tuntutan gaji 11 bekas pemain berjumlah hampir RM190,000 itu,” katanya lagi.