Jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini menganggap kesilapan individu menjadi punca pasukannya tewas 1-3 kepada Selangor FC II pada perlawanan terakhir pusingan pertama Liga Premier, malam semalam.
Ragini berkata, skuad kendaliannya bermula dengan tidak teratur sebaik awal permainan lagi sehingga membenarkan tuan rumah memperoleh tiga gol dalam separuh masa pertama.
“Kita bermula dengan agak buruk, ada kesilapan individu dalam situasi pasukan lawan mendapat sepakan percuma, tiga pemain saya berada hampir dengan bola tetapi tidak ada seorang pun menyelamatkan situasi itu.

“Gol kedua, saya fikir ia kesilapan penjaga gol dan mengenai gol ketiga, jujurnya Mario (Arquis) menyentuh bola dengan tangan tetapi ia (berlaku) diluar kawasan (kotak) penalti….. itu pandangan sayalah,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor FC II menewaskan Kelantan FC 3-1 menerusi jaringan Harith Haiqal Adam Afkar seawal minit keenam, Fazrul Fahriz Zeky (m-39) disusuli sepakan penalti George Attaram, dalam masa kecederaan babak pertama.
Sementara Jack Hindle menghadiahkan gol sagu hati buat Kelantan FC menerusi sepakan penalti pada minit ke-71 tetapi ia tidak cukup buat mereka untuk bangkit di Petaling Jaya.
Pengendali import dari San Marino itu menjelaskan, sukar bagi pasukannya untuk bangkit terutama selepas mereka ketinggalan tiga gol dalam tempoh 45 minit pertama.
“Memang sukar mencari tiga gol (menyamakan kedudukan) kerana dalam babak kedua Selangor FC II mula menutup ruang daripada membenarkan kita melancarkan serangan.
“Kesalahan….memang (tetap) kesalahan kita kerana memberikan mereka tiga gol dengan cara yang bodoh. Kita berusaha mencari gol tetapi beraksi di atas padang seperti (becak) ini sangat sukar bermain bola sepak,” ujarnya.

Tegasnya Ragini lagi, usaha Kelantan FC untuk bangkit menjadi semakin rumit apabila pemain Gergasi Merah berpura-pura mengalami kecederaan sehingga menggangu corak permainan pasukannya.
“Satu perkara yang sering berlaku dalam pertandingan ini ialah banyak kali (pemain) berpura-pura cedera, cara ini menjejaskan rentak pasukan. Saya perhatikan keadaan ini juga berlaku dalam perlawanan lalu tetapi saya fikir pengadil tidak melindungi kedua-dua pasukan, ini bukan bola sepak dan tidak ada permainan yang adil.
“Saya bekerja (dengan kelab lain) di seluruh dunia dan ini pertama kali saya lihat setiap dua minit beberapa pemain (terjatuh) di atas padang, penjaga gol (lawan) pun saya tidak tahu (sama ada) dia sentuh bola (atau), sentuh sesiapa tapi tiba-tiba (terjatuh) di tanah,” jelasnya lagi.
FOTO : TRW Kelantan FC