Pengendali interim Kelantan United FC, Nazrulerwan Makmor mengakui kesilapan mudah dilakukan pemain menyebabkan pasukannya berputih mata pada aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.
Nazrulerwan berkata, kesilapan tersebut membolehkan TFC II menghukum pasukannya sehingga terpaksa akur dengan kekalahan 2-3.
“Babak kedua saya beri kredit kepada pemain tapi separuh masa pertama kita melakukan kesilapan mudah dan pasukan berpengalaman seperti TFC II akan bunuh kita (di atas kesilapan itu).
“Sebagai (bekas) defenders (pertahanan) saya faham tapi saya tak boleh terima kita kena dua gol terlalu awal, terlampau cepat.
“Kita bukan bermain di peringkat bawah umur, kita di peringkat Liga Premier, jadi pemain kena faham kadang kala dalam bola sepak benda macam ini boleh berlaku,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan itu.
Pada pertemuan dua kelab jiran tertangga itu, Kelantan United FC terlebih dahulu berada di depan menerusi Mohd Khairul Izuan Rosli, pada minit ke-16.
Namun pemain TFC II, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob meledak gol penyamaan (m-23) disusuli Jordan Mintah turut mencipta dua jaringan peribadi (m-24, 45+1) menjadikan kedudukan 3-1 dengan Kelantan United FC bangkit hasil sepakan penalti Alfsainey Gassama (m-68) tetapi sudah terlambat apabila tewas dalam pertemuan itu.
Jelasnya lagi, walaupun anak buah menampilkan kebangkitan dengan aksi meyakinkan dalam babak kedua namun ia belum cukup buat mereka setidak-tidaknya mencuri satu mata.
“Babak kedua kita nampak pemain mencuba, sekurang-kurangnya dapat satu gol tapi bagi saya ia belum cukup lagi, kita kena perbaiki (kelemahan), jadi apa yang boleh saya buat, saya akan buat sedaya termungkin,” katanya.
Dalam pada itu, bekas jurulatih Puchong Fuerza itu tidak mahu berputus asa dan menaruh keyakinan kelabnya mampu mara ke kempen Piala Malaysia musim ini sekalipun terpaksa bersaing dengan sekurang-kurangnya empat pasukan lain.
“Saya memang positif, saya percaya pasukan ini boleh pergi ke Piala Malaysia tapi saya kena buat banyak kerja rumah kerana bila datang ke sini, saya tengok semangat berpasukan sedikit longgar,” ujarnya lagi.