Kelab Bola Sepak Kelantan United (Kelantan United FC) mengikat bekas pemain skuad kebangsaan Jepun dalam kempen Piala Asia 2004, Masashi Motoyama bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Legenda berusia 41 tahun itu diumumkan pemain import ketiga selepas kelab berkenaan mengekalkan Gassama Alfusainey (Gambia) selain menyambar pemain import baharu dari Jepun, Yuki Tanigawa, sebelum ini.
Presiden Kelantan United FC, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, kejayaan merekrut pemain import dari negara matahari terbit itu hasil kerjasama strategik dengan pengeluar minuman probiotik terkemuka di dunia, Yakult (Malaysia) Sdn Bhd.
Menurut beliau, Motoyama dijangka tiba di negara ini pada minggu pertama Januari dan akan turun berlatih bersama The Green Deer sebaik selesai menjalani kuarantin wajib.
“Selain jurulatih dan pemain Jepun (Akira Higashiyama serta Yuki Tanigawa), kita juga menandatangani pemain veteran (Masashi Motoyama) yang merupakan legenda besar di negaranya.
“Saya harap kehadiran dia bukan sahaja memberi sokongan, semangat tetapi juga bimbingan kepada kelab ini untuk berjaya pada musim akan datang. Ini merupakan beberapa langkah yang kita ambil untuk mempersiapkan pasukan menghadapi saingan Liga Premier 2021.
“(Dokumen) kontrak sudah dihantar, dari segi persetujuan lisan sudah ada, bererti 99 peratus dia bersetuju. Malam ini atau pagi esok dia akan tandatangan kontrak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik antara Yakult (Malaysia) Sdn Bhd dan Kelantan United FC di Hotel Ibis Style, Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Zuraidin Abdulah dan Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada.
Motoyama, pemain kelahiran Kitakyushu, Fukuoka mempunyai pengalaman selama 18 tahun menyarung jersi Kashima Antlers(1998-2015) dalam Liga 1 Jepun dengan merekodkan 365 penampilan dan mencetak 38 gol.
Pemain yang boleh beraksi di posisi tengah menyerang dan penyerang sokongan itu kemudian menyertai Giravanz Kitakyushu pada musim 2016 sebelum kontraknya berakhir hujung 2019.
Difahamkan, Motoyama merupakan pemain pertama Jepun yang berstatus pernah mewakili skuad kebangsaan Samurai Blue beraksi dalam kancah Liga-M.
Sementara itu, Hamada memberitahu, beliau berharap penyertaan tiga warga Jepun itu dapat memberi manfaat besar terhadap Kelantan United FC.
“Kami agak terkejut apabila Datuk Che Abdullah mencadangkan corak permainan bola sepak Jepun diimplimentasikan kepada kelab ini dan kami sebenarnya memang fokus ke arah itu.
“Saya berharap kehadiran mereka ini dapat berkongsi pengalaman dengan pemain tempatan dalam kelab ini nanti,” katanya.
Foto ihsan : Alamy