‘Perang terbuka’ antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selesai setelah ketiga-tiga pihak itu mengadakan pertemuan hati ke hati, semalam.
Menerusi satu kenyataan ringkas badan induk bola sepak kebangsaan itu memaklumkan, perjumpaan tersebut berlangsung dalam suasana baik bagi menyelesaikan kemelut melibatkan ketiga-tiga pihak berkenaan, sebelum ini.
“Satu sesi perbincangan yang diatur oleh FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini diharap berjaya menyelesaikan isu membabitkan FAM, MFL dan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.
“Perbincangan lebih sejam itu dihadiri oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, Naib Presiden FAM merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam serta Norizam sendiri yang turut disertai wakil dari Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) diketuai naib presidennya, Ahmad Muzakkir Hamid,” menurut FAM.
Persengketaan bermula apabila Norizam meluahkan rasa tidak terhadap kenyataan yang dikeluarkan Stuart mengenai pemotongan mata ke atas Kelantan FC sekiranya KAFA gagal menyelesaikan tuntutan gaji 11 bekas pemain melibatkan jumlah RM187,778.92.
Bagaimanapun, Stuart menafikan pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian sebaliknya menjelaskan kandungan yang ditulis dalam sebuah artikel merupakan rumusan dibuat sendiri oleh seorang wartawan yang menemuramah beliau dan bukan dipetik daripada kenyataan sebenar.
Ia terus berlarutan apabila pemilik Kelantan FC itu mempertikai agihan hak penyiaran Liga Malaysia dan elaun pengadil musim lalu yang didakwa masih belum dibayar kepada kelabnya.
Susulan itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff telah mengeluarkan kenyataan menjemput pakar pelaburan itu untuk mengadakan pertemuan bagi menyelesaikan itu tersebut.
FOTO : Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)