Pemain berpengalaman Kelab Bola Sepak Kelantan United (Kelantan United FC), Mohd Badhri Radzi hanya menjalani pemeriksaan kesihatan susulan mengikut prosedur biasa dan bukannya mengalami masalah kesihatan.
Setiausaha Eksekutif kelab berkenaan, Wan Mohd Zul Ikman Wan Ab Aziz menjelaskan, dakwaan mengatakan Mohd Badhri berdepan masalah kesihatan adalah tidak benar dan hanya khabar angin semata-semata.
Sebaliknya kata beliau lagi, pemain veteran berusia 39 tahun melakukan pemeriksaan lanjutan bagi memastikan dia berada dalam kondisi baik sebelum saingan liga bermula.
“Sebenarnya Piya telah pun menjalani pemeriksaan kesihatan baru-baru ini dan Alhamdulillah dia lulus ujian itu.
“Bagaimanapun, bagi memastikan kesihatan dia berada dalam tahap terbaik, kita melakukannya sekali lagi,” katanya.
Tular di laman sosial hari ini gambar Mohd Badhri atau dikenali Piya sedang mendapatkan rawatan sehingga dikatakan mengalami masalah kesihatan.
Situasi itu menyebabkan peminat bola sepak Kelantan tertanya-tanya mengenai keadaan semasa bekas kapten The Red Warriors sambil mereka turut mendoakan kesihatannya.
Dalam masa sama, Wan Mohd Zul Ikman turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan penyokong bola sepak Kelantan terhadap kesihatan perancang tengah pasukannya itu.
“Insya Allah, apa yang boleh saya beritahu Piya dijangka kembali menjalani latihan bersama pasukan dalam masa terdekat.
“Saya harap dengan kenyataan ini dapat menamatkan kerisauan peminat bola sepak di Kelantan mengenai keadaan kesihatan Piya,” ujarnya lagi.