Selepas dihambat kontroversi beberapa hari lalu, The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd secara rasmi mengumumkan logo baharu kelab bola sepak Kelantan (Kelantan FC), hari ini.
Logo hasil ciptaan Muhammad Afiff Hakimi Anuar yang ditambah baik itu akan menjadi logo rasmi Kelantan FC dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif TRW FC Berhad, Norizam Tukiman berkata, perubahan logo baharu itu seiring dengan aspirasi dan misi pasukannya sebagaimana dilakukan kelab bola sepak terkenal di dunia seperti Liverpool dan Juventus selain pengeluar barangan sukan ternama, Nike.
“Alhamdulillah, selepas mengambil alih pengurusan pasukan The Red Warriors satu pertandingan membuat logo baru dibuat.
“Daripada ratusan yang dihantar, saya telah memilih logo hasil Muhammad Afiff Hakimi Anuar. Reka bentuk sudah menarik hati tetapi logo kijang sahaja berbeza,” katanya dipetik menerusi laman rasmi TRW Kelantan FC hari ini.
Sejak diumumkan pada 28 Oktober lalu, wujud pertikaian dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong bola sepak Kelantan itu terutama imej binatang yang tertera pada logo berkenaan.
Bagaimanapun Norizam atau dikenali Zamsaham memberitahu, beliau sudah menjangka lebih awal timbul kecaman sedemikian sebaik sahaja logo itu diperkenalkan di laman sosial, beberapa hari lalu.
“Ada segelintir penyokong yang tidak sabar, mahukan yang terbaik walaupun sudah ada kenyataan (bahawa) logo pemenang bukanlah logo muktamad yang akan digunapakai pada permulaan musim 2021 nanti,” katanya lagi.
Menurut pakar pelaburan terkenal itu, sedikit pengubahsuaian dilakukan bagi memastikan keseluruhan imej pada logo itu menepati kehendak daripada segi maksudnya.
“Alhamdulillah, beberapa olahan dan maksud pada logo bintang dua yang melambangkan perpaduan kuat di antara penyokong dan pasukan The Red Warriors.
“Bulatan emas (menyerlahkan) bertapa berharganya pasukan TRW Kelantan FC bagi membawa pasukan kita ke peringkat lebih tinggi baik dari pengurusan dan kualiti permainan.
“11 palang adalah melambangkan 11 jajahan di seluruh negeri Kelantan yang bakal melahirkan pemain bola yang berkualiti, berdisplin dan hebat.
Jelas beliau lagi, logo kijang digarap dengan wajah tegas dan garang menandakan pengurusan serta pasukan bersungguh-sunguh mencapai misi dan visi pasukan kemenangan.
“Warna merah (melambangkan) warna semangat berani berjuang hingga ke minit terakhir perlawanan.
“Logo adalah lambang pasukan. Semangat adalah isi kekuatan kemenangan. Fokus (menjaringkan) gol tanpa lupa bertahan adalah misi kejuaraan pasukan The Red Warriors,” ujar beliau sebelum mengakhiri kenyataannya itu dengan melancarkan secara rasmi logo berkenaan.