Marco Ragini mempertahankan persembahan pasukannya ketika tewas 0-1 kepada Sarawak United FC dalam kempen Liga Premier di Kota Bharu, semalam.
Pengendali Kelantan FC itu berkata, walaupun kekalahan tipis tersebut sukar diterima namun dia tetap berbangga dengan aksi ditonjolkan pasukannya.
Menurutnya, ada sesuatu yang positif ditunjukkan barisan pemainnya apabila mula mempamerkan peningkatan prestasi daripada satu perlawanan ke perlawanan lain.
“Saya tidak menyesal, pemain juga jangan menyesal, (malah) saya ucap terima kasih kepada mereka kerana bekerja keras dan cuba bermain sebaik mungkin. Ada ketika kita bernasib baik, ada kalanya tidak.
“Namun mereka telah berjaya mengurangkan banyak kesilapan teknikal dalam perlawanan ini. Saya faham kelab ini mahu kemenangan, penyokong juga mahu menang tapi realitinya saya akur dengan kekalahan ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi tersebut, hasrat Kelantan FC untuk meraih kemenangan sulung di laman sendiri tidak kesampaian apabila dikecewakan menerusi rembatan jarak jauh pemain import Sarawak United FC, Lee Chang-hoon, pada minit ke-37.
Mengulas lanjut kekalahan tersebut, jurulatih berasal dari San Marino itu merumuskan ia satu pertemuan dimana pasukan yang memanfaatkan sepenuhnya peluang akan keluar sebagai pemenang.
“Sarawak United membuat dua percubaan tepat, satu menghasilkan gol. Kita melakukan dua percubaan tepat, tapi tak dapat gol. Ini yang membezakan walaupun kedua-dua pasukan sebenarnya bermain cara sama, aksi juga seimbang dalam babak pertama.
“Babak kedua, saya tak nampak perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan. Tetapi jika bercakap mengenai persembahan pasukan, saya gembira namun tidak mengenai keputusan (kalah 0-1) ini.

“Tapi hari ini saya fikir Kelantan FC telah tunjukkan kepada penyokong bahawa kita berjaya mengurangkan jurang antara satu pasukan baharu dibina dengan pasukan mungkin agak lama dalam liga ini,” katanya.
Sementara itu, Ragini menyifatkan gol yang dihasilkan pemain Sarawak United FC sebagai jaringan menakjubkan dalam saingan Liga Premier.
“Lihat jaringan itu, mungkin hanya sekali dalam setahun. Tahniah kepada pemain (Lee Chang-hoon) satu jaringan menarik yang harus dinikmati hasil percubaan jarak jauh,” ujarnya.
FOTO : TRW Kelantan FC