Kempen TM Piala Malaysia musim ini bakal menyaksikan pasukan Kepulauan Borneo, Sabah tersisih daripada menyertai kejohanan tertua di Asia Tenggara itu.
Ia berikutan pasukan berkenaan tidak mendapat pelepasan keluar dari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November ini.
Impak keputusan itu juga menyebabkan UiTM FC diberi kemenangan percuma 3-0 setelah permohonan laluan khas skuad Sabah tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sabah sebelum ini dijadualkan bertemu UiTM FC di Stadium Hang Jebat Melaka untuk aksi terakhir Liga Super, 31 Oktober ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan skuad Tambadau tidak akan terlibat dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.
“Permohonan pengecualian bagi pasukan Sabah tidak diluluskan sehingga menyebabkan perlawanan Liga Super yang tertunda tidak dapat dimainkan, jadi pasukan UiTM FC diberikan kemenangan 3-0.
“Tempoh kuarantin kendiri wajib selama 14 hari (sekiranya pasukan Sabah tiba di KLIA pada 29 Oktober 2020) telah melangkaui tarikh perlawanan pusingan pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia.
“Justeru, pasukan yang bakal diundi bertemu pasukan Sabah di Pusingan Pertama (kalah mati) TM Piala Malaysia 2020 diberikan kemenangan 3-0 dan seterusnya layak ke pusingan Suku Akhir,” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.
Format TM Piala Malaysia musim ini terpaksa diubah kepada saingan kalah mati sejak pusingan pertama membabitkan 16 pasukan (11 CIMB Liga Super, 5 Liga Premier ) sehingga ke pusingan suku akhir (12 dan 13 November), separuh akhir (17 November) tanpa aksi timbal balik sebelum aksi final pada 22 November susulan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
Bagaimanapun, Ab Ghani memaklumkan, Sabah kekal beraksi dalam Liga Super musim 2021 dan tiada hukuman yang bakal dikenakan terhadap pasukan itu walaupun diselubungi isu tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan, Pertandingan TM Piala Malaysia 2020 kekal berlangsung seperti perancangan sebelum ini.
Menurutnya, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ke-23 yang bermula pukul 10 pagi sehingga 7 malam semalam.
“TM Piala Malaysia 2020 akan bermula 6, 7 dan 8 November ini akan berjalan seperti yang dijadualkan di mana undian TM Piala Malaysia 2020 akan berlangsung pada 1 November ini,” katanya.
Jelasnya lagi, MFL selaku badan pentadbir Liga Malaysia akan
membantu kelab dan pasukan yang berdepan PKPB berkaitan proses untuk bermain di venue zon hijau pandemik COVID-19.
“Sudah pasti kepatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sentiasa menjadi agenda utama buat MFL ketika dalam pandemik COVID-19 dan ia akan menjadi tanggungjawab bersama dalam menjayakan kejohanan TM Piala Malaysia 2020,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan format kenaikan dan penyingkiran Liga Super kekal seperti biasa manakala tiada penyingkiran bagi pasukan Liga Premier selepas Liga Bola Sepak Amatur (AFL) dibatalkan pada musim ini.