Pemain Kelantan kini tidak lagi dibebani isu masalah gaji selepas pemiliknya, Norizam Tukiman mengambil inisiatif melangsaikannya hingga hujung musim ini.
Pengurus Operasi Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd Jamilulail Jamiludin Kamarodin berkata, pembayaran gaji itu melibatkan semua pemain dan pegawai skuad The Red Warriors.
Menurutnya, Norizam atau dikenali Zamsaham turut menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pasukan itu.
“Dalam memastikan aspek kebajikan pemain terpelihara, pihak pengurusan mengambil satu lagi inisiatif dengan membayar gaji hingga akhir musim.
“Bagi saya tindakan Zamsaham ini menunjukkan beliau begitu serius mahu memastikan pasukan keluar daripada belenggu hutang yang tentunya boleh memberi persepsi buruk kepada pasukan ini sendiri,” katanya.
Jamilulail Jamaluddin yang juga bertindak selaku pengurus pasukan memberitahu, tindakan Zamsaham menyelesaikan pembayaran tersebut selaras dengan usaha beliau melakukan transformasi pasukan menerusi dasar penswastaan seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
“Selepas ini tiada lagi isu berbangkit mengenai kegagalan atau kelewatan membayar gaji pemain kerana ia telah diselesaikan oleh beliau sehingga habis musim.
“Kita berharap usaha ini dapat meningkatkan moral dan motivasi pemain untuk menghadapi saingan Piala Malaysia tidak lama lagi dan saya optimis pasukan mampu melangkah sejauh mungkin dalam saingan kalah mati ini,” ujarnya.