KOTA BHARU – Kelantan merekodkan kes harian tertinggi hari ini, dengan 19 kes baharu dicatatkan sehingga 12 tengah hari tadi.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menerusi Facebooknya turut memaklumkan satu lagi kluster baharu dikenalpasti di negeri ini iaitu Kluster Mengketil yang mana merekodkan 24 kes Covid-19 termasuk 12 kes baharu pada hari ini.
Katanya, Kluster baharu ini melibatkan daerah Kota Bharu, Machang dan Tanah Merah di negeri Kelantan dan daerah Besut di negeri Terengganu.
Tambah kenyataan itu, kes baharu tersebut membabitkan lima kes dari Mukim Kusial, Tanah Merah (Kluster Mengketil), enam kes dari Mukim Pendek, Kota Bharu (Kluster Mengketil), tiga kes dari Mukim Kubang Kerian, Kota Bharu ( Kluster Kube), tiga kes dari Mukim Panji (Kluster Raya), satu kes di Mukim Pangkal Meleret ( Kluster Mengketil ) dan satu kes saringan survelan Covid-19 (Sari) dari Mukim Ulu Sat, Machang.
“Empat kes dilaporkan sembuh iaitu kes 185,189,190 dan 191. Kes dalam rawatan ialah 50 orang dengan dua kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
“Daerah Kota Bharu diisytiharkan sebagai zon jingga manakala tiga daerah, Machang, Tanah Merah dan Jeli adalah zon kuning,” kata kenyataan itu.
Tambah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, sehingga tengah hari tadi, Kluster Kube merekodkan keseluruhan 23 kes termasuk tiga kes baharu hari ini.
Dalam pada itu, Majlis Daerah Machang turut menghentikan aktiviti jual-beli di Pasar Borong Wakaf Bata mulai esok sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Notis penutupan tersebut dikongsi menerusi laman Facebook Majlis Daerah Machang, kira-kira jam 6 petang tadi .