Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob semasa menyampaikan pembentangan belanjawan berkata, biarpun belanjawan negeri mencatat defisit setiap tahun, namun untuk tiga tahun berturut-turut kerajaan negeri telah mencatatkan perbelanjaan sebenar surplus iaitu RM38.2 juta untuk tahun 2017, RM40.4 juta untuk tahun 2018 dan RM445.69 juta surplus untuk tahun 2019.
Katanya, prestasi kewangan negeri tahun 2020 juga dijangka dapat mengurangkan jumlah defisit semasa hasil daripada kerajaan negeri berbelanja secara berhemat dan mengikut keutamaan kerajaan.
“Anggaran hasil negeri tahun 2021 pula dijangka diperoleh sebanyak RM1.02 bilion yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM214.91 juta, Hasil Bukan Cukai RM454.44 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM354.32 juta.
“Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan dalam hasil sebanyak RM274.96 juta iaitu 36.73 peratus berbanding anggaran hasil tahun 2020 sebanyak RM748.71 juta,” katanya.
Tambah Ahmad, hasil tanah kekal sebagai penyumbang terbesar dengan jumlah RM355.95 juta daripada keseluruhan jumlah hasil. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM46.56 juta berbanding anggaran pada tahun 2020 sebanyak RM309.39 juta.
Menurutnya, terimaan daripada agensi kerajaan menjadi penyumbang kedua terbesar dengan jumlah sebanyak RM289.65 juta daripada keseluruhan jumlah hasil di mana terimaan daripada kerajaan persekutuan dijangka sebanyak RM284.15 juta.
“Terimaan daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri termasuk pelbagai sumbangan yang lain dianggarkan berjumlah RM5.5 juta dan terimaan lain-lain menjadi penyumbang ketiga terbesar melibatkan jumlah sebanyak RM202.9 juta daripada jumlah keseluruhan hasil,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Ahmad turut membentangkan anggaran perbelanjaan mengurus pada tahun 2021 dijangka sebanyak RM1.09 bilion berbanding RM794.78 juta pada tahun 2020.
Katanya, jumlah tersebut meningkat sebanyak RM294.92 juta merangkumi perbelanjaan tanggungan sebanyak RM43.83 juta dan perbelanjaan bekalan sebanyak RM1.05 bilion.
Jelasnya, RM27.4 juta daripada perbelanjaan tanggungan diperuntukkan untuk membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan Persekutuan. Jumlah ini adalah sama dengan jumlah pada tahun 2020.
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri setiap tahun sentiasa konsisten dalam membayar hutang-hutang kerajaan Persekutuan mengikut kemampuan aliran tunai kerajaan negeri.
“Selain itu, untuk peruntukan pembangunan bagi tahun depan ialah sebanyak RM479.29 juta dengan peningkatan sebanyak RM169.77 juta berbanding tahun 2020 dan ia dibiayai di bawah peruntukan negeri sebanyak RM419.29 juta dan RM60 juta daripada sumber pinjaman,” katanya.