Hasrat Kelantan United FC untuk keluar daripada belenggu kekalahan masih tidak kesampaian setelah tewas tipis 2-3 kepada Terengganu FC (TFC) II pada aksi tunggal Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad yang sinonim dengan gelaran The Green Deers terus melebarkan rekod kekalahan kelima berturut-turut.
Meskipun terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-16 namun mereka gagal mempertahankan kelebihan tersebut.
Sebaliknya, skuad kendalian Nazrulerwan Makmor dikejutkan dua gol pantas dalam tempoh selang seminit hasil sentuhan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-23 disusuli jaringan Jordan Mintah, minit ke-24.
Penyerang import Ghana itu terus meletakkan TFC II semakin selesa selepas meledak gol kedua berpunca kerapuhan benteng pertahanan tuan rumah, minit-minit akhir separuh masa pertama.
Kelantan United FC kembali mempamerkan aksi lebih positif dalam babak berikutnya tetapi percaturan pemain TFC II yang lebih banyak berkampung di dalam kotak penalti ternyata menyukarkan mereka untuk memadamkan defisit gol pelawat.
Kelantan United FC akhirnya berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Alfusainey Gassama pada minit ke-63 tetapi ia belum cukup buat The Green Deers untuk sekurang-kurang mencuri satu mata dalam pertemuan ini.
Tandukan bek tengah tuan rumah, Amiridzwan Taj Tajudin pada penghujung permainan singgah sekadar ditiang gol sekali gus membenarkan TFC ceria membawa pulang tiga mata ke Kuala Terengganu.
Foto : MFL