Semua masjid negeri, bandar dan jajahan di Kelantan diarah mengadakan solat hajat dan doa selamat selepas solat Jumaat 23 Oktober ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, ia bagi memohon pertolongan dan perlindungan dari Allah SWT daripada penularan wabak COVID-19 di negeri ini.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukkan Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah mengampuni perkenan semua masjid negeri, bandar dan jajahan agar melaksanakan solat hajat dan doa selamat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, semua masjid di seluruh negeri ini diingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh pihak MAIK sebelum ini.
“Saya mendoakan agar wabak Covid-19 yang sedang mengancam negeri dan negara pada masa ini segera berakhir dan diangkat oleh ALLAT SWT,” katanya lagi menerusi kenyataan itu.