Semua aktiviti kuliah agama di seluruh masjid dan surau di Kelantan ditangguhkan sekali lagi sehingga 30 Oktober ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penangguhan tersebut melibatkan kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha dan lain-lain kuliah termasuk kelas Al-Quran.
“Berikutan jumlah kes Covid-19 di seluruh negara termasuk di Kelantan sejak akhir-akhir ini, pihak MAIK telah memutuskan agar penangguhan semua program berkenaan sehingga hujung bulan ini.
“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Dipertuan bagi negeri Kelantan Darul Naim sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukkan Perkara 6(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah mengampuni perkenan melanjutkan penangguhan kuliah agama di seluruh masjid dan surau di negeri Kelantan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Begitupun, solat fardhu dan solat sunat boleh dilaksanakan seperti biasa dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang telah dikeluarkan oleh pihak MAIK sebelum ini.
Sementara itu, dalam satu lagi kenyataan berasingan, pihak MAIK turut memaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mengampuni perkenaan penangguhan Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Kelantan Tahun 1442H.
Walaubagaimanapun, majlis sambutan Maulidur Rasul di masjid dan surau adalah dibenarkan dengan syarat mematuhi had kapasiti muatan masjid dengan penjarakan satu meter dan SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini.
Menurut beliau lagi, sehubungan itu, pihak MAIK menyarankan semua umat Islam di negeri ini untuk menyambutnya bersama ahli keluarga di rumah masing-masing dengan berselawat dan membaca sirah Rasulullah SAW .
“Semoga kecintaan kita kepada Rasulullah SAW akan terus subur dan bertambah sepanjang masa,” katanya lagi menerusi kenyataan tersebut.